Psikologi Kanak-kanak yang Memasuki Usia Persekolahan

Disclaimer!!!
Rekaan ayat-ayat dibawah adalah tazkirah dan muhasabah untuk diri sendiri berdasarkan pemerhatian dan pengalaman serta pendengaran dan pembacaan juga pemahaman daripada Ikim.fm, TV-Alhijrah, Astro Oasis, TV9 (Tanyalah Ustaz) dan beberapa lagi segmen motivasi dan agama yang sungguh tak terkira banyaknya

السلام عليکم

Terlebih dahulu perlu dikatakan yang saya bukanlah pakar dalam mana-mana bidang, cumanya bila terfikir yang kita; seorang manusia masing-masing adalah da’ie maka perlu dikongsikan pendapat untuk manfaat sendiri dan semua. Andaikata ada sebarang kesalahan fakta mohon pembaca tinggalkan komen untuk saya perbetulkan diri dan seterusnya memperbetulkan artikel ini.

Pepatah Melayu mengatakan

  • Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi
  • Bapak borek anak rintik

Pada pendapat saya, pepatah ini lebih menunjukkan sikap dan sifat ibubapa yang nampak pada anak-anak. Akan tetapi biasakah anda dengan peribahasa ini; “Guru Kencing Berdiri, Anak Kencing Berlari?”

Perkembangan psikologi seorang anak adalah seumur hidup mereka tetap menganggap ibu dan ayah mereka adalah Role Model walaupun usia mereka telah mencapai tahap dewasa. Proses tumbesaran dan pembelajaran mereka sedari kecil hanyalah berkitar pada aktiviti mereka dengan ibubapa serta keadaan sekeliling. Kemudiannya proses pembelajaran mereka meningkat lebih tinggi apabila mereka memasuki peringkat persekolahan.

Pada masa ini akan berlaku sedikit kecelaruan pada kanak-kanak. Ini kerana mereka mempunyai 2 sumber rujukan iaitu ibu dan ayahnya juga guru mereka. Mereka kelihatan akan lebih merujuk pada guru-guru kerana mereka meluangkan masa siang lebih di sekolah manakala selalunya hanya pada waktu malam untuk ibubapa mereka.

Mengikut pemahaman saya, kanak-kanak akan lebih cenderung kepada nasihat dan ajaran guru mereka. Maka pada masa ini, pemerhatian dan tingkah laku ibubapa mereka akan diletak pada nombor 2. Jarang sekali kita mendengar masyarakat berkata kepada anak-anak kecil seperti:

“Macam ini kah bapak kau ajar?”

tetapi selalunya macam ini:

Cikgu mana yang ajar kamu macam ni?”

Jadi sebagai ibubapa, janganlah terasa ralat dan kecil hati apabila anda mendapati contoh dan tauladan yang baik yang anda telah tunjukkan kepada anak-anak tidak menjadi atau anak-anak tak mengikutinya. Selalunya mereka lebih cenderung berkata “Cikgu tak ajar macam ini” atau “Cikgu tak ajar” ataupun mungkin “Cikgu dah ajar tapi lupa”. Pada masa tersebut mereka jarang ungkapkan “Abah belum ajar lagi” ataupun “Mama dah ajar tapi lupa”.

Merujuk kepada pengalaman sendiri, sedikit sebanyak saya perasan yang perkara yang sama memang terjadi pada diri ditambah perisa dengan sikap-sikap rakan sekeliling. Namun Allahyarham Abah sangat tegas dan saya kira Abah berjaya mengekang saya daripada pergi lebih jauh ke arah yang beliau tidak ingini. Dia dibantu Mama telah membentuk jatidiri anaknya ini menjadi seorang yang banyak berfikir walaupun sebenarnya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja baru saya tersedar akan hakikat tersebut.

Jadi apa yang perlu dibuat?
Pendapat saya, tak perlu risau dan jangan cepat melatah. Kekalkan momentum anda bersama anak-anak dan jangan putus-putus didiknya dengan sifat terpuji para Nabi dan Rasul. Saya juga mempunyai anak dan saya sangat berharap agar saya berjaya menjadi pendidik nombor 1 mereka dan kemudiannya barulah guru-guru mereka.

Sekali lagi diingatkan. Mohon pembaca budiman betulkan fakta atau tambah fakta yang lebih menarik untuk saya menaiktaraf diri selari dengan perkembangan anak-anak. Saya adalah seorang manusia yang seringkali terlupa dan senantiasa perlukan bimbingan.

Terima kasih.

والسلام

One thought on “Psikologi Kanak-kanak yang Memasuki Usia Persekolahan

Sudikanlah lontar komentar anda :)